DIA tiba di Kinnaree Thai Restaurant lewat hampir
15 minit dari yang dijanjikan. Ketika tiba, kelihatan Zarif menunggunya di meja.
Mujurlah Zarif telah membuat tempahan
terlebih dahulu. Waktu Dalia masuk ke dalam restoran, hampir kesemua meja penuh
dengan mereka yang menginginkan masakan Thai yang enak.
Zarif menyambut ketibaan Dalia dengan satu
senyuman. Dalia diserang rasa bersalah.
“Sorry sebab terlewat.” Ujarnya sambil
menarik kerusi menghadap Zarif.
“Tak apa. Saya pun baru aje sampai.” Balasnya.
Mereka duduk di sebuah meja yang sedikit
tersembunyi daripada keriuhan. Sambil itu, mereka sempat juga bertukar khabar
berita dan berbual ringkas.
Selesai membuat pesanan, masing-masing
diserang suasana sunyi. Zarif kelihatan leka membelek telefon bimbitnya. Sama
ada memeriksa e-mail atau mesej daripada
klien-kliennya, Dalia sendiri tidak tahu. Asyik sangat sampaikan seolah lupa
bahawa Dalia sedang duduk di hadapannya.
Bagi menutup resah di hati, Dalia buat-buat
godek telefon di tangan. Entah apa yang dia cari, Dalia sendiri tidak tahu.
Sekadar cuba melegakan rasa hati.
Pesanan tiba. Mereka mula makan. Dalia mula
rasa tidak senang. Zarif beria mahu makan tengah hari dengannya. Namun lagak
lelaki itu sekarang seolah terpaksa. Mana tidaknya, sepatah kata pun langsung
tidak terbit dari mulut Zarif.
“Zarif.” Panggil Dalia.
Lelaki itu yang sedang menikmati tom yam
makanan laut, berpaling memandang Dalia. Bibirnya kelihatan merah. Kesan
daripada bahang pedas tom yam tersebut. Kacak, hati Dalia berbisik. Sejuk sikit
hatinya berbanding ketika insiden berhampiran Butik Qaseh tadi. Semerta wajah
mamat singa muncul tapi cepat-cepat Dalia halau. Serabut.
“Hmm? Kenapa? Makanan kat sini tak sedap ke?”
Dalia menggeleng.
“You didn’t say a word. Are you okey? Awak
ada masalah kerja ke?”
“Takdelah.” Balasnya pendek.
“Dah tu? Kenapa macam terpaksa aje?” Luah
Dalia. Kecil hati. Zarif ketawa perlahan.
“Terpaksa? Maksud awak?”
Dalia diam. Takkanlah Zarif slow sangat nak faham
apa yang dia rasa.
“Merajuk? Please don’t.”
“Mana ada.” Tukasnya.
Nasi dimasukkan ke dalam mulut. Mak oii,
pedasnya! Apa yang aku sumbat ni? Segera dicapai jus epal dan disedut laju.
Namun, cuba dikawal agar tidak ketara di mata Zarif. Malu la! Dikerling
pinggannya. Tengok, cili padi hijau disangkakan sayur kacang panjang!
“Sorry. Saya sibuk sejak akhir-akhir ni.
Projek baru banyak yang masuk.” Zarif menerangkan. Dalia mendengar. Dia sedia
maklum dengan skop pekerjaan Zarif itu. “Langsung tak call or message
awak. I am a bad boyfriend, am I?”
“Awak ni kenapa? It’s okay, saya faham.”
Padahal, jauh di sudut hatinya menidakkan apa
yang baru dia ucapkan. Sejujurnya, dia selalu rasakan seolah tidak penting
langsung kehadirannya dalam hidup Zarif. Takkan sekeping mesej pun tak sempat?
“Awak terlalu baik, Dalia. Dan saya bersyukur
untuk itu.”
Terlalu baik? Apa maksud awak, Zarif?
Lama suasana sepi melewati mereka. Zarif
melonggarkan sedikit tali lehernya. Dia menghelakan nafas. Cuba membuang debar
di dada sekaligus mengumpul kekuatan untuk berterus terang. Sanggupkah?
*****
“Awak cakap ada hal mustahak nak bagitahu kat
saya. Apa dia?”
Dalia meluahkannya selepas Zarif selesai
menghabiskan makan tengaharinya. Bukan apa, Dalia diselubungi pertanyaan yang
bermacam-macam dalam kepala otaknya. Tambah lagi dengan sikap Zarif yang
dirasakan lain dari hari sebelumnya.
“Takde apa-apalah.” Zarif memandang wajahnya.
Lama.
Dalia rasa pipinya sudah mulai memerah
taktala direnung Zarif sebegitu. Redup mata lelaki itu sukar untuk dia
tafsirkan.
Zarif sudah lama dia kenali. Hubungan
keluarga mereka sangat akrab. Dulu, sewaktu mereka masih di bangku sekolah
rendah, Zarif, Iyris dan dirinya ialah rakan sepermainan. Mereka sering bermain
bersama-sama hinggalah keluarga Zarif berpindah ke Singapura.
Apabila keluarga Zarif kembali menetap di
Malaysia, Dalia tika itu di tahun akhir pengajiannya di universiti. Keluarga
mereka saling bertemu dan kunjung mengunjungi namun hubungan Zarif dan Dalia
sedikit kekok. Masakan tidak, mereka terpisah ketika masih bersekolah rendah.
Alih-alih, bertentang mata ketika sudah besar panjang. Hilang segala kemesraan
yang pernah mereka ciptakan suatu ketika dulu.
“Dalia, awak dah bersedia untuk bertunang
dengan saya?”
Dalia diserbu 1001 perasaan taktala soalan
itu spontan keluar daripada bibir Zarif.
“Kenapa awak tanya macam tu?” Pertanyaan
Zarif dibalas dengan pertanyaannya.
“I am curious.” Balasnya pendek.
Dalia sisip jus yang berbaki. Dia sendiri
tidak pasti apa jawapan yang perlu dia berikan.
Namun, dia yakin. Hatinya pasti.
Bertunang dengan awak, beerti saya mengambil
waktu untuk menyiapkan diri saya sebelum menempuh alam perkahwinan dengan awak.
Mental dan fizikal. Awak tahukan erti pertunangan kita ini sangat besar dan
bermakna buat mereka. Sekalipun atas desakan ibu bapa kita, saya jujur mengakui
yang saya sememangnya sukakan awak, Zarif. Demi Allah, saya bersedia untuk
bergelar suri awak suatu saat nanti.
“Awak tak yakin pada saya?”
Zarif menggeleng. Mana mungkin. Dia tahu
bahawa Dalia itu seorang yang baik. Terlalu baik buat dirinya.
“Saya tahu awak ikhlas, Dalia. Cuma...”
“Apa maksud awak?” Hatinya sedikit goyah.
Terusik dengan jawapan Zarif.
Adakah Zarif tersepit dalam keadaan ini?
Adakah dia merasakan usaha mereka selama lebih setahun ini sia-sia sahaja?
Adakah selama tempoh itu Zarif sebenarnya... terpaksa?
“Nevermind.”
“Zarif...”
“Are you done? Let’s go. Saya ada meeting
dengan klien kejap lagi.” Ajak Zarif.
Ternyata, Zarif membuatkan dia dalam
penasaran.
No comments:
Post a Comment