SUASANA di teres dua tingkat itu sunyi sepi ketika
Dalia tiba. Waktu itu jam menunjukkan sudah menunjukkan hampir 12 tengah malam.
Hari ini dia lewat pulang kerana baru sahaja menghadiri majlis makan malam di
sebuah hotel sempena ulang tahun penubuhan syarikat tempat dia bekerja.
Selesai sahaja memarkirkan keretanya di porch, lampu di ruang tamu terang
benderang. Dalia sedikit terkejut. Sangkanya, penghuni rumah di corner lot itu sudah lama melelapkan
mata.
Dalia memberikan salam sebelum masuk ke
dalam rumah. Dilihat Puan Zahara sedang menanti di ruang depan.
“Mama, kenapa tak tidur lagi?” Soalnya
hairan. Kalau hari-hari lain, sudah lama mamanya asyik dibuai mimpi. Jarang
benar berjaga sampai lewat sebegini.
Puan Zahara melepaskan satu keluhan.
“Mama risaukan si Iyris. Masih tak
pulang-pulang.”
Dalia diam. Tahulah puncanya. Mengingatkan
Iyris, dia rasa geram. Sudah hampir tiga hari Iyris tidak nampak batang hidungnya.
Hanya sekali sahaja dia menelefon mama memberitahu lokasinya. Ikutkan,
sepatutnya semalam Iyris pulang dari shooting di sebuah pulau di Sabah. Tapi
hingga kini, langsung tak nampak tuan punya badan.
Adiknya yang seorang itu memang selalu buat
hal. Kalau diikutkan hati, sekali sekala hendak juga dia sekeh-sekeh kepala
budak tu supaya tahu batasan. Namun, Iyris itu kan anak kesayangan mama. Mana
mungkin dia boleh bertindak sewenangnya. Silap haribulan, kepala dia kut yang
jadi mangsa pelangkungan daripada mama.
Fikirnya, selepas mama dan abah merestui
cita-cita Iyris sebagai model, adiknya akan lebih bertanggungjawab. Dia ingat,
lepas balik dari Eropah dan setelah berjaya mencipta nama dalam industri
tersebut, Iyris akan semakin matang. Tapi, Iyris masih juga seperti anak muda
yang lain. Selalu juga buat mama dan abah pening kepala.
“Tahulah dia jalan balik, ma. Entah-entah,
Iyris ada job lain kut. Anak mama kan dah makin terkenal sekarang. Mama
pergilah tidur. Dah lewat ni.” Suruh Dalia.
“Kamu ni, kan mama risaukan Iyris.
Jangankan nak tidur, nak baring pun mama dah tak sedap hati. Budak ni, selalu
sangat buat mama naik darah.” Rungut Puan Zahara geram.
Naik darah? Hmm.. belakang Iyris yelah.
Tapi, bila Iyris dah ada depan-depan, mama bukannya nak marah ke apa. Tulah,
dah terlebih spoil budak sorang tu.
“Mama, Iyris tu dah besar. Kalau 6 bulan dia
boleh survive di Eropah, takkan la dalam Malaysia dia boleh sesat.”
“Ke situ pulak kamu.” Marah Puan Zahara.
“Iyris tu tahu jaga diri mama. Jangan risau,
dia mungkin jumpa kawan-kawan lama dia tu. Kemudian, terlupa nak bagitahu kat mama.”
Dalia memujuk.
Dia juga bimbang sebenarnya. Belum pernah Iyris
missing in action sebegini. Apa hal sekalipun, dia akan tetap memaklumkan kepada
mama walau sekeping mesej cuma. Entahlah, Iyris pun bukan budak kecil yang boleh
diikat kakinya. Tambah lagi Iyris kini sudah memasuki dunia glamer.
“Berangan apanya tu? Mama tanya kamu tak
dengar ke?” Suara Puan Zahara kedengaran sedikit tinggi. Dalia terkejut.
“Tanya? Er, apa mama? Kakak kurang
dengar..” perlahan sekali dia bersuara. Kang tak pasal-pasal aku kena ceramah.
Ni semua si Iyris punya fasallah ni.
“Mama tanya, kamu dengan Zarif macam mana?”
Mendengar nama itu, Dalia terbatuk tiba-tiba. Ada ke patut mama ni melencong ke
lain. Tadi kan cakap fasal Iyris, yang terkeluar nama Zarif kenapa pulak?
“Er.. Kakak okay aje dengan dia, ma.” Dihadiahkan
satu senyuman yang kekok kepada Puan Zahara. Bagi menutup perbualan tentang hal
itu.
“Dah tu, kenapa Aunty Aishah call mama kata
kamu dah lama tak ke rumah dia. Kamu gaduh ke?”
“Mana ada, ma.” Laju Dalia menjawab. Puan Zahara
pandang dia semacam.
“Kakak sibuk,
Zarif pun sibuk.” Dia beralasan. Juga untuk menyedapkan hati sendiri.
“Mama cuma nak pastikan hubungan kamu berdua
okay. Kamu jangan nak main-main, tak lama lagi dah nak bertunang.” Puan Zahara seakan
memberi amaran.
Dalia pun tak tahu nak kata apa.
No comments:
Post a Comment