Tabung Ayam

Saturday, March 9, 2013

Bab 13

BMW putih yang tersadai di laman menandakan Iyris berada di rumah. Dalia termenung seketika di dalam keretanya. Entahlah, dia belum begitu pasti dan bersedia untuk berdepan dengan Iyris pula. Dia perlukan masa setelah begitu banyak kejutan yang datang tanpa diduga sejak akhir-akhir ini. Namun, pada masa yang sama Dalia tidak juga boleh bertangguh tentang ‘hubungan’nya dengan Zarif. Mama dan abah perlu diberitahu.

Azan Maghrib yang berkumandang dari surau berdekatan kediamannya menyedarkan Dalia. Dengan langkah yang tidak bermaya, Dalia masuk ke dalam rumah. Sunyi sahaja walaupun lampu terpasang cerah. Mama dan abah masih di Kajang kerana menghadiri majlis perkahwinan anak kenalan mereka.

Dalia yang memanjat tangga untuk ke tingkat atas bertembung dengan Iyris yang ingin turun ke tingkat bawah. Iyris berpakaian ringkas dengan make up yang masih tercalit di muka. Pasti Iyris baru pulang dari kerjanya. Rambut cantik Iyris yang berada pada paras pinggangnya sudah tiada. Adiknya tampak manis dengan rambut ikal di hujung melepasi paras bahu. Entah bila Iyris ubah penampilannya Dalia langsung tidak tahu. Masakan tidak, sudah hampir seminggu mereka tidak bersua muka.

Iyris yang sedang bercakap dengan seseorang di talian kelihatan sedikit terkejut melihat Dalia. Pasti Zarif sudah memaklumkan hal yang sebenar. Cepat benar berita tersebar. Itu Dalia yakin. Bibir Iyris bagaikan ingin berkata sesuatu namun Dalia buat tidak nampak. Hatinya masih jua rasa sakit akibat ditipu hidup-hidup. Tambah lagi oleh Iyris, darah dagingnya sendiri. Tidak dia sangka Iyris sanggup memperbodohkannya. Tidakkah Iyris nampak betapa bahagianya Dalia sewaktu berbicara soal Zarif? Mengapa mesti Iyris berlagak seperti biasa sedangkan di belakangnya, mereka bermain cinta? Mengapa Iyris juga berdiam diri sedangkan Dalia bakal ditunangkan dengan Zarif tidak lama lagi? Lakonan jenis apakah yang cuba Iyris lakukan?

Dalia yang berselisih bahu dengan Iyris terus menonong masuk ke dalam biliknya. Dia masih belum mahu berdepan dengan Iyris. Dia takut kalau dia berterusan menyalahkan Iyris atas apa yang terjadi. Dalia masih keliru. Salah dia kah? Atau salah Iyris dan Zarif? Atau mungkin jua salah orang tua mereka yang terlalu ingin menjodohkan anak-anak tanpa mengambil kira rasa hati masing-masing? Argh... Tidak tergamak untuk Dalia meletakkan kesalahan itu pada bahu mama dan abah. Juga Uncle Bahrin dan Aunty Aisyah yang sudah pasti tidak tahu apa-apa. 

Dia pening memikirkan cara untuk berterus terang dengan mama dan abah. Hati orang tuanya pasti terluka. Mama dan abah terlalu ingin berbesan dengan keluarga Zarif. Argh, Iyris kan ada. Bukankah Iyris juga pilihan Zarif? Mereka sama-sama mencintai. Pasti mama dan abah juga dapat berbesan dengan Aunty Aisyah dan Uncle Bahrin akhirnya. Bezanya, bukan Dalia yang bakal menjadi menantu mereka, sebaliknya Iyris, itu kata hati Dalia. 

Masuk sahaja ke dalam bilik, dia segera menuju ke bilik mandi. Badan yang penat dan minda yang letih perlu direhatkan. Dalia lekas-lekas membersihkan diri sebagai persiapan untuk menunaikan Rukun Islam yang kedua.


BUNGKUSAN hadiah pemberian Iyris yang dipegang oleh Puan Zahara jatuh ke atas hamparan karpet dari Turki di ruang tamu. Wanita itu langsung menatap wajah Dalia lama, memohon penjelasan. Encik Nazri yang asyik bergelak ketawa dengan Iyris tadi, turut terdiam.

Dalia pandang wajah ahli keluarganya, satu persatu. Wajah mamanya nampak tegang. Wajah abahnya mengharapkan alasan. Wajah Iyris? Dalia tidak pasti apa yang bermain di benak adiknya itu. Gembira mungkin, itu tebaknya.

“Kamu bergurau kan, Lia?” Puan Zahara masih terkejut sebenarnya apabila Dalia memuntahkan satu ayat yang tidak pernah dia mimpi untuk dia dengar. Mustahil!

“Kakak serius, mama. Kakak tak nak teruskan majlis pertunangan dengan Zarif.” Tenang dia bersuara walaupun Dalia pasti akan maklum balas yang bakal dia terima. Dia tiada pilihan. Dalia harus ‘sakit’ sekarang daripada dia menanggungnya pada masa akan datang. Dalia pasti, jika dia berdiam pasti lebih banyak pihak yang akan makan hati secara tersembunyi. Dia sendiri juga tidak mampu untuk berterusan menipu dirinya sendiri.

“Kakak sedar tak apa yang kakak cakapkan ni?” Encik Nazri menyoal Dalia mendahului Puan Zahara yang sudah naik suhunya. Masakan tidak, majlis bakal berlangsung dalam masa 2 minggu sahaja lagi. Alih-alih, Dalia buat hal tiba-tiba. Ibu mana yang tidak terkejut dan marah sedangkan persiapan telah pun dijalankan. Jemputan juga telah dihebahkan kepada beberapa orang tetamu penting. Dalia memang sengaja cari fasal!

“Kakak sedar, abah. Dan kakak juga tahu akibat daripada perbuatan kakak ini.” Dalia telan liur yang terasa payau. Dia diserang rasa bersalah kerana telah menghampakan dan menghancurkan harapan mama dan abah serta Aunty Aisyah dan Uncle Bahrin. Namun Dalia punya alasan kukuh untuk itu semua. Terang lagi bersuluh, hati Zarif bukan untuknya. Untuk apa lagi Dalia berkorban?

“Habis tu, kenapa kamu tiba-tiba nak batalkan pertunangan ini?” Puan Zahara menengkingnya. Dalia sendiri tidak menyangka sebegitu sekali marah Puan Zahara. Sebagai ibunya, mama langsung tidak mengambil pendekatan secara lembut dan halus. Mama langsung tidak cuba memahami perasaannya. Tidak langsung cuba menerokai punca dia bertindak sedemikian. Hati Dalia sebak, namun dia cuba kawal agar tidak nampak pada pandangan mama, abah dan Iyris.

“Kakak ada sebabnya, mama.”

“Sebab? Kamu jangan nak main-main, Dalia. Ada kamu bincang dengan Zarif?”
Dalia mengangguk perlahan.

Mengikut perancangan, Dalia dan Zarif akan bertunang selama sebulan sebelum mereka bakal diijab kabulkan. Sudahnya, semua itu lebur begitu sahaja selepas Tengku Adrian menunjukkan gambar-gambar mesra antara Zarif dan Iyris. Ternyata, jauh lebih mesra berbanding hubungannya dengan Zarif dan juga Iyris sendiri. Teringat lagi bagaimana terketar-ketar tangannya membelek puluhan keping gambar hasil kerja penyiasat persendirian yang diupah lelaki yang cukup asing bagi Dalia. Fitnah? Tidak mungkin. Kalau sudah berpelukan, apa lagi yang hendak Dalia sangkalkan?

“Kakak sudah fikir masak-masak ke? Kakak tahu tak kesan perbuatan kakak ni?” Encik Nazri menyoalnya lembut. Tapi Dalia tahu abah juga sedang menahan marah. Buktinya, wajah abah jelas kelihatan tegang tidak seperti biasa.

“Kakak tahu. Zarif dan kakak tidak saling mencintai. Untuk apa kakak teruskan padahal kakak tahu hati dia bukan untuk kakak.” Ujar Dalia sambil memandang Iyris. Wajah Iyris berubah. Itu Dalia pasti.

“Alasan apa yang kamu berikan ini, Dalia? Habis tu, hubungan kamu sejak dulu itu apa? Pembohongan?” Marah Puan Zahara.

Kakak ikhlas, ma. Tapi Zarif sebenarnya langsung tak buka pintu hatinya untuk kakak, rintihnya.

“Mama tak kira, walau apa pun alasan kamu, kamu tetap akan bertunang dengan Zarif.” Melengking suara Puan Zahara memenuhi kesunyian malam minggu itu.

“Kakak tak boleh, ma. Zarif tak cintakan kakak. Takkan mama sanggup teruskan walaupun mama tahu hal yang sebenar?” Dalia memohon agar Puan Zahara faham. Dia mendekati wanita itu yang kini berdiri.

“Hal apa? Kamu jangan nak buat alasan. Entah-entah kamu dah ada lelaki lain yang berkenan, kan? Sebab tu gunakan Zarif sebagai alasan. Begitu?”

Hampir terduduk Dalia mendengar tuduhan mama kandungnya. Tergamak mama menuduhnya sebegitu. Mama lebih percayakan Zarif daripada anak yang mama kandungkan selama 9 bulan 10 hari ini? Hampir menitik air matanya waktu itu.

“Takkan mama tak percayakan kakak?”

Puan Zahara bercekak pinggang sambil menjeling sinis pada Dalia. Geram sungguh dia dengan sikap anak sulungnya yang tiada angin tiada ribut mahu membatalkan majlis yang telah lama direncanakan.“Betulkan kamu memang ada lelaki lain?” Ya Allah, kenapa sejauh itu mama masih menuduhnya?

“Mama, kakak nak batalkan majlis tu sebab kakak dan Zarif memang tiada harapan untuk bersama. Tiada kaitan pun dengan mana-mana lelaki.” Belanya lagi. Dia bimbang kalau mama semakin jauh curiga lantas menuding jari ke arahnya dengan bermacam tuduhan yang tidak masuk akal.

Pokoknya di sini, dia tidak mahu meneruskan majlis pertunangan dengan Zarif kerana lelaki itu sebenarnya mencintai orang lain. Noktah. Dan ‘orang lain’ itu pula tidak jauh daripadanya. Dia tidak sanggup.

‘’Itu kata kamu!”

“Mama, kakak tak mahu.” Dalia tegas dengan keputusannya. Encik Nazri yang sejak tadi hanya memerhati mula masuk campur. Dia menghampiri isterinya yang kelihatan sangat marah.

“Dalia! Berapa kali kamu nak mama ulang yang kamu akan bertunang dengan Zarif. Faham?” Puan Zahara makin tidak senang dengan kedegilan Dalia yang tidak disangka-sangka itu.

“Zah, bersabar. Jangan awak nak naik darah begini. Kakak ada alasannya. Cuba awak duduk dan bertenang. Barulah kita boleh berbincang dengan elok.” Nasihat Encik Nazri.

“Alasan apa, bang? Sampai sekarang Zah masih tak faham. Yang Zah tahu, Dalia memang sengaja nak malukan muka kita. Apa Zah nak cakapkan pada Aisyah dan Bahrin yang nak sangat berbesan dengan kita? Zah malu, bang.”

“Sabarlah.” Pujuk Encik Nazri lagi.

“Mama, abah... Maafkan kakak.” Rayu Dalia sambil cuba memegang tangan Puan Zahara. Wanita itu menepis. Dalia terkesima. Sampai begitu sekali layanan mama? Hanya kerana Dalia tidak ingin ditunangkan dengan Zarif? Apa agaknya reaksi mama kalau mama tahu bahawa ada Iyris di antara mereka? Adakah mama juga akan tetap dingin dan marah sebegini?

Masing-masing diam. Cuba meredakan ketegangan yang melanda.

Maafkan kakak... Kakak bukan sengaja nak lukakan hati mama dan abah. Tapi Zarif tak cintakan kakak. Hatinya cuma milik Iyris. Sejak dulu lagi...


post signature

2 comments: