Tabung Ayam

Thursday, August 1, 2013

Bab 19

DALIA membiarkan telefonnya yang disetkan ke dalam mode silent, bergetar di atas meja solek. Melihat private number pada skrin sudah cukup menyesakkan hati Dalia. Masuk kali ini, sudah lapan missed call yang dia terima. Si pemanggil bahkan tidak putus asa untuk terus menghubunginya walaupun panggilan tersebut tidak dijawab.

Tidak cukup dengan panggilan, berderet mesej ringkas yang diterima. Tidak perlu baca, terus dipadam supaya hatinya tidak terus sakit. Ikutkan, memang dia serabut dengan gangguan yang tidak terduga itu. Untuk menukar nombor, mungkin tidak. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja. Kalau Tengku Adrian sendiri memandang remeh hal itu, mungkin Dalia juga perlu mengabaikannya. Lambat laun, mereka pasti bosan.

Telefon dibiarkan, lalu Dalia merebahkan diri ke atas tilam. Matanya merenung kipas yang berputar di siling dengan hanya ditemani cahaya lampu tidur. Ralit sekali. Dia ingin segera memejamkan mata dan beradu di alam mimpi. Dia ingin merehatkan tubuhnya yang terasa letih. Penat dengan kerja yang berlambak dan juga penat dengan tingkah Tengku Adrian yang perlu dia hadapi saban hari. Itu belum lagi dengan kedinginan yang dia rasakan di rumah sendiri. Sungguh melelahkan.

Pejam celik pejam celik, sudah lebih sebulan sejak dia terikat dengan kontrak gila Tengku Adrian. Memang tidak logik, namun Dalia kalah apabila berdepan dengan lelaki itu. Mulutnya bagaikan terkunci untuk terus membela dirinya supaya bebas daripada perjanjian tidak rasmi mereka dahulu. Lelaki itu cukup petah untuk mematahkan hujahan Dalia supaya mereka tidak terus berhubung. Sudahnya, Dalia cuma dapat marah dan memendam rasa di dalam hatinya sahaja.

Sesekali, pernah juga Dalia mengelak daripada panggilan Tengku Adrian. Namun, lelaki itu tetap muncul di depan matanya. Paling Dalia takut dan terkejut apabila Tengku Adrian tiba-tiba tercegat di depan pintu pagar rumahnya. Alasannya mudah. Dalia perlu temankan dia membeli barangan dapur dan keperluan diri. Lelaki itu memang gila. Demi untuk mengelakkan mama dan abahnya tahu, Dalia terpaksa menuruti Tengku Adrian.

Dan disebabkan Tengku Adrian, Dalia dihujani pula dengan panggilan-panggilan berbeza daripada individu-individu yang tidak dikenali dan yang tidak habis-habis menyuruhnya agar menjauhi lelaki itu. Bukan itu sahaja, Dalia juga dituduh macam-macam. Pasti daripada wanita-wanita yang Tengku Adrian kenali. 

Bermacam cerita kurang enak dan bahasa yang kurang sedap dia dengar, namun motifnya jelas. Dalia perlu menjauhi Tengku Adrian. Pernah Dalia jelaskan hal tersebut kepada Tengku Adrian, tetapi lelaki itu bersikap bersahaja. Macam hal tersebut kecil dan tak penting pun. Peristiwa tengah hari tadi sudah cukup membuktikan sikap Tengku Adrian yang memang tidak peduli walau sedkit pun.

“You pasti ke mereka semua tu bekas girlfriends I? Entah-entah kawan-kawan you saja nak prank kan you, babitkan nama I pulak?” Jawapan Tengku Adrian mudah sekali kedengaran. Bela diri nampak?

“Tolong sikit. Untuk pengetahuan awak, Tengku Adrian, tiada sesiapa pun yang tahu hal antara kita berdua. Dah terang-terang mereka mengaku yang mereka tu kekasih awak. Bukannya bekas kekasih.” Terang Dalia bila Tengku Adrian seolah malas ambil tahu.

“So?” Tengku Adrian memandang Dalia sekilas sebelum dia fokus pada pemanduannya.

“So? So, awak tak perlu lagi gunakan saya untuk buat mereka semua cemburu.”

Tengku Adrian tersengih. Macam kerang busuk. Menyampah betul Dalia melihatnya.

“Bila masa I gunakan you untuk buat perempuan lain cemburu? Nonsense! Cik Dalia, please ingat balik sebab apa yang menjadikan you dan I boleh duduk dalam satu kereta sekarang? Dalam kereta I pula tu? Hmm?”

Dalia mengecilkan matanya seolah tidak percaya. Lelaki ni, memang sengaja!

“Saya tak nak, awak yang paksa. Ugut, ugut, ugut. Itu apa yang awak dah buat dan sedang buat.” Membara sahaja rasa di dalam dada. Kedinginan udara sejuk dan haruman lavender yang memenuhi ruang belum cukup untuk menenangkan Dalia. “Saya tak tahulah, apa masalah awak yang sebenarnya, Tengku Adrian? Kenapa mesti saya? Okay, tak kisah apa pun permainan awak. Jawapannya dah jelas. Ramai perempuan kat luar sana yang sudi temankan awak. Jadi, lepas ini tak payahlah...”

“Kenapa you sibuk nak kisahkan sangat fasal mereka? Let them be, tak luak pun. Dah penat, mereka berhentilah.” Beritahu Tengku Adrian yang tenang memandu. Dalia pandang lelaki itu dengan tidak percaya.

“Memanglah, tapi saya dah tak tahan kena maki macamlah saya rampas awak daripada mereka pun. Sekali dua, mungkin saya boleh bersabar. Tapi, ini dah melampau.” Luah Dalia geram.

“Okay, I faham. Call dan mesej you untuk cakap perkara-perkara yang teruk macam tu memang tak patut. Mereka tu jealous kan you aje. I pun tak sangka ramai yang mengaku sebagai bekas girlfriend I.”

“Jealous apa? Sebab saya kena ikut cakap awak? Langsung tak patut.” Menyusahkan dan menyakitkan jiwa raga, ada lah!

Lelaki itu melepaskan tawa. Dalia yang mendengar seakan tidak percaya. Lucu ke?

“Tak kelakar langsung, Tengku Adrian.” Tawanya terhenti.

“I minta maaf. I tahu you tak selesa. Privacy you dah terganggu. Sorry, semua memang disebabkan I. I admit that.”

“Cukuplah Tengku Adrian. Saya dah letih dengan semua ni.” Mudahnya dia berkata-kata. Tengku Adrian memang sah buaya darat. Dengan semua pakej yang dimiliki, tidak hairanlah kalau dia mempunyai ramai wanita yang beratur panjang serta sanggup untuk melakukan apa sahaja demi untuk mendampingi dan mendekati dirinya.

“Dalia, sejujurnya walaupun muka I ni handsome tapi I bukanlah jenis yang sapu aje semua perempuan yang sukakan I. Prinsip I, berkawan biarlah berjuta tapi berkasih cuma seorang. Simple.”

Sempat lagi dia memuji dirinya walaupun dalam keadaan serius sebegini? Well, walaupun memang betul tapi Tengku Adrian ni memang perasan sungguh. “Kalau mereka nak histeria sekali pun sebab I keluar dengan you, peduli apa? I bukannya milik sesiapa, so apa hak mereka nak marah-marah you. You should take it as... urm... nothing.”

Ya Allah, apa masalah dia ni? Senanglah, yang menadah telinga balik-balik aku juga. “Tengku Adrian, apa lagi yang awak mahukan daripada saya?” Nada Dalia sudah berubah. “Tak cukup lagi ke saya ikut awak ke mana-mana selama ini? Awak buat saya macam tiada perasaan. Saya pun ada maruah. Tak boleh ke awak berterus terang? Apa yang awak inginkan sebenarnya, Tengku Adrian? Perlu ke awak buat saya macam ini?”

Tengku Adrian senyap. Pertanyaan Dalia dibiarkan berlalu. Dalia melepaskan keluhan. Letih dengan semua yang diciptakan oleh lelaki di sebelahnya.

“Tengku Adrian, please. Tolong hentikan sikap awak ni. Awak buatkan saya makin sakit hati dan benci dengan sikap awak.” Fuhh, lega...

“You benci I, Dalia? Sebab you rasa terikat dengan perjanjian bodoh dulu tu, you ikut aje apa yang I minta? Sebab you rasa I blackmail you dengan gambar-gambar adik you dan bekas tunang tak jadi you tu, you simply follow my orders? Itu sebab you benci kan I?”

Ya, memang itu yang aku rasa. Thanks Tengku Adrian because you spill them out for me.

“Get lost dengan semua tu. Wake up, Dalia. Tak cukup ke untuk you bukak mata tu luas-luas? Can’t you see I clearly buat semua ini sebab apa?” Tegas suara itu memenuhi ruang. Dalia terkedu. “You ni memang slow kan? Susah nak nampak apa yang sebenarnya berlaku depan mata you? No wonderlah. Kekasih curang dengan adik sendiri pun you tak nampak, apatah lagi...”

Dalia berang. Tengku Adrian sudah melepasi tahap kesabarannya yang dia kumpul selama ini.

“Stop it! Awak tiada hak untuk sentuh hal peribadi saya.”

“Oh really? I’m so damn sorry for doing that.” Jawapan Tengku Adrian cukup sinis kedengaran.

“Apa masalah awak Tengku Adrian?”

“Enough, Dalia. I’m tired.”

Suara Dalia bagaikan tersekat terus di celahan kerongkong. Tidak mampu untuk terus bertingkah kata dengan lelaki itu, sesuatu yang baru dia berani lakukan pada hari ini. Air liur yang ditelan terasa payau apabila muka Tengku Adrian berubah serius seratus peratus. Siapa yang patut sentap sebenarnya?

“Dah sampai.” Beritahu Tengku Adrian sewaktu mereka tiba di hadapan bangunan Suria Holdings. Dalia merasakan perbincangan mereka belum berakhir dan Tengku Adrian sudah mengisyaratkan agar ia tidak diteruskan. Dalia buntu dengan sikap dan kelakuan Tengku Adrian. Tanpa kata, dia melangkah keluar dari kereta tersebut. Dengan seribu rasa yang membengkak di dalam jiwa.

post signature