Tabung Ayam

Friday, March 1, 2013

Bab 11

RIAK wajah lelaki di depannya tampak berubah bila Dalia ucapkan kata-kata itu. Dalia sendiri tidak dapat membaca reaksi si lelaki. Bukankah dia sepatutnya bersyukur? Gembira dan lega? Sungguh Dalia sendiri tidak menyangka kalau hari itu akan tiba juga. Dalia tidak mahu terus bertangguh lagi. Cukuplah dia terseksa dalam diam sejak hari dia bertemu dengan Tengku Adrian beberapa hari yang lalu. Dia sudah tidak mahu menipu dirinya sendiri. Dan dia juga tidak mahu Zarif berterusan menipu orang di sekelilingnya.

“Awak tak bergurau, kan?” Zarif menyoal Dalia yang tertunduk. Dalia angkat wajahnya memandang kembali Zarif. Matanya tampak basah, namun sedaya mungkin dia bertahan.

“Perkara sebegini bukan satu gurauan, Zarif. Saya dah fikir semasak-masaknya. Ini yang terbaik buat kita berdua.” Buat awak terutamanya, Zarif... Saya tak nak jadi penghalang lagi.

“Dalia, awak janganlah main-main macam ni. Majlis dalam dua minggu lagi, takkan sekarang awak tiba-tiba beritahu tak nak bertunang dengan saya? Awak tak fikir ke perasaan keluarga awak? Keluarga saya juga?”

“Saya dah fikir itu semua, Zarif. Saya tahu akibatnya. Tapi saya tetap tak nak teruskan.” Tegas dia bersuara walaupun hancur di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Dia perlu kuat.

“Kenapa baru sekarang, Dalia? Awak sedar tak apa yang cuba awak lakukan ini?” Tinggi suara Zarif menyentak emosi Dalia. Wajahnya tegang. Keputusan Dalia adalah secara mendadak. Dia langsung tidak tahu mengapa secara tiba-tiba Dalia berubah. “Sekalipun awak marahkan saya yang kadang kala mengabaikan awak, takkan jalan ini yang awak nak ambil?” Sambung Zarif lagi. Dia sedar kesilapannya yang satu itu. Mereka pasangan kekasih namun Dalia sering diabaikan. Kadang kala, dia juga kasihankan gadis itu tapi dia tiada pilihan. Dia terdesak dan tersepit.

Dia lihat Dalia yang sentiasa tersenyum ketika bersamanya itu muram. Dia lihat kolam mata gadis itu yang hampir melimpahkan mutiara jernih. Cuba dia cari punca di sebalik sepasang mata redup Dalia. Namun gagal. Hati Dalia bagaikan tertutup terus. Apa puncanya?

Masing-masing diam seribu bahasa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di tasik itu tidak mampu menenangkan hati Zarif. Lama mereka berdiam. Membiarkan alam berbicara sambil mereka melayan rasa hati sendiri.

“Dalia...” Panggil Zarif perlahan. Dalia berpaling melihat ke arahnya. “Please, Dalia. Don’t do this.” Pujuk Zarif. Dia tahu Dalia serius.

“Apa sebenarnya yang awak mahukan dalam hubungan ini, Zarif? Sedangkan awak tahu yang awak tak pernah cintakan saya? Sanggup ke awak korbankan cinta awak semata-mata disebabkan keinginan orang tua kita? Awak sanggup?” Zarif terhenyak dengan pertanyaan Dalia yang tidak disangka-sangka. Tidak mungkin Dalia tahu.

“Apa maksud awak?” Dadanya berdegup kencang. Lebih kencang daripada sewaktu dia dengar hasrat Dalia yang tidak inginkan majlis pertunangan mereka direncanakan.

“Sudahlah, Zarif. Takkan sampai ke tahap ini awak masih nak sembunyikan hakikat yang sebenar daripada saya. Saya tahu hati awak memang bukan untuk saya.”

“Dalia, awak...”

“Lebih setahun awak berpura-pura, kan? Kenapa Zarif? Kenapa mesti awak bagi saya harapan palsu?”

Zarif hilang kata-kata. Tidak dia sangka Dalia tahu juga akhirnya. Dia benar-benar hilang arah saat ini. Fikirnya, pertunangan yang bakal mereka lalui nanti akan menjadi titik penentu rasa cintanya pada Dalia. Sama ada wujud atau sebaliknya. Dia ingin memberi peluang kepada hubungan yang pada awalnya hanyalah gesaan dan dorongan orang tua mereka. Zarif tahu dia pentingkan dirinya sendiri, namun dia tidak punya pilihan. Harapan umi dan ayah angkatnya sangat besar. Zarif tidak sanggup untuk menghampakan mereka dan berkata tidak meskipun saat itu dia langsung tidak mencintai Dalia. Dia sebenarnya mencintai orang lain.

“Apa pun alasan awak, awak memang kejam. Kenapa mesti awak bersetuju sedangkan awak sudah ada yang lain? Mujurlah ALLAH buka mata saya sebelum hubungan yang tiada makna bagi awak ini pergi lebih jauh. Sebelum saya terus hanyut dalam harapan dan cinta palsu awak. Awak memang kejam.”

“Dalia, awak dah salah faham.”

Dalia ketawa, sinis. “Salah faham? Ya, saya memang salah faham. Saya salah faham apabila sangkakan cinta saya pada awak tidak bertepuk sebelah tangan. Saya salah faham bila fikirkan awak memang ikhlas menyintai saya selama ini. Dan saya salah faham bila sangkakan awak memang ingin bertunang dengan saya. Jujurlah pada diri awak, Zarif. Untuk apa awak nak kita bertunang kalau awak cintakan Iyris. Pergilah kejar cinta awak Zarif. Cukuplah kita buang masa selama ini.”

Lelaki itu meraup wajahnya. Dia diserang rasa bersalah yang teramat sangat. Dalia memang jujur menyintainya tetapi kenapa dia hanya nampak perempuan lain? Dalia banyak berkorban untuknya tapi dia balas pengorbanan Dalia dengan menyayangi orang lain walaupun dia tahu hubungan mereka sangat direstui orang tua. Dia memang jahat. Dia tamak.

“Sudahlah Zarif. Saya dah sampaikan apa yang tersimpan dalam hati saya selama ini. Saya akan sampaikan perkara ini pada mama dan abah saya. Saya harap awak pun maklumkan pada Aunty Aisyah dan Uncle Bahrin.” Dalia memutuskan. Tidak sanggup lagi dia berlama-lama di situ. Apa yang penting, beban yang dia rasa menghimpit dadanya sejak beberapa hari lalu sudah hilang. Dia lega walaupun hatinya masih terluka.

Dalia memang sudah tahu segalanya. Tapi bagaimana? Zarif sungguh tidak menyangka kebenaran itu terbit jua. Benarlah kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Zarif tidak menyangka pengakhirannya sebegini. Memang dia tidak mencintai Dalia tapi dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa penipuan tentang perasaannya telah terbongkar. Paling memalukan, entah mengapa dia harus terkesan bila Dalia ingin putuskan perhubungan? Dia kelu. Rasa bersalah, lega, marah? Dia tidak tahu.

“Dalia, I’m sorry. Maafkan saya. Bukan niat saya nak permainkan perasaan awak.” Ucap Zarif setelah lama.

“Habis tu, selama ini awak anggap saya sebagai apa? Kekasih? Bakal isteri? Atau boneka awak?”

“Saya tersepit. Saya tiada pilihan. Saya akui saya memang jahat. Dan untuk itu saya tak layak untuk cinta awak. Dengan pertunangan ini, saya harap perasaan saya pada awak akan lebih jelas.”

“Dan kemudian? Awak memang sengaja kan? Susah sangat ke untuk awak berterus terang di awal-awal dulu? Kenapa awak heret perkara ini sampai sekarang?” Tergamak Zarif mempermainkan perasaannya...

Zarif tidak menunjukkan respon. Dalia lantas bangun daripada kerusi batu. Rambutnya yang menampar lembut ke pipi dia selit pada celah telinga kirinya. Air mata yang jatuh ke pipi dia sapu segera. Dia perlu kuat.

“Saya pergi dulu.” Dalia berlalu pergi menuju ke arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Dia meninggalkan Zarif yang masih berdiri di situ. Memikirkan realiti yang bakal dihadapi selepas ini.

*******

KIRA-KIRA 10 minit memandu, Dalia memberhentikan keretanya pada bahu jalan. Dia sudah tidak dapat menahan rasa hatinya. Di situ, Dalia menangisi perpisahannya dengan Zarif buat kali yang terakhir. Dia hamburkan segala rasa yang terpendam di dalam dada. Zarif memang kejam! Hinggakan saat Dalia ingin batalkan majlis tersebut, Zarif masih cuba menyembunyikan kebenaran. Untuk itu, biarlah Dalia undur diri daripada terus memaksa Zarif menerimanya sedangkan ada insan lain yang terletak istimewa dalam hati lelaki itu.

Nur Iyris.

Satu-satunya adik yang dia ada, ternyata insan yang Zarif pilih. Insan yang Zarif cintai sepenuh hati. Mengapa tergamak mereka berlakon di hadapannya? Dalia terasa dirinya diperbodohkan. Dia sayangkan Iyris. Dia juga sayangkan Zarif. Tetapi kedua mereka seolah mempermainkan kasihnya pada mereka dengan bercinta secara diam di belakang Dalia. Bukan sehari tetapi lebih setahun. Kalau benar cinta mereka ikhlas, mengapa tidak mereka berterus terang? Mengapa Dalia dijadikan sandaran?

Dan kau Dalia, kenapa bodoh sangat sampai langsung tak perasankan itu semua?

Dalia turut menyalahkan dirinya sendiri. terlalu buta dengan cinta yang tidak ke mana.

Ketukan secara tidak disangka pada tingkap di sebelahnya mengejutkan Dalia. Lekas-lekas dia sapu sisa-sisa air mata. Dia lihat ada seorang lelaki berdiri di luar keretanya. Dalia turunkan cermin tingkap keretanya bila lelaki itu berkali-kali mengetuk hingga mahu roboh rasanya. Mengapa mesti ada lelaki ini? Kebetulan apakah?





“Buat apa kat sini? Cari nahas ke?” Tengku Adrian menyapanya dengan sinis. Hilang sudahkah adab dan tutur kata yang baik daripada lelaki itu? “You ni baru putus cinta ke? Menangis sorang-sorang dalam kereta?”

Peka benar Tengku Adrian dengan apa yang berlaku kepadanya. Ya, kerana Tengku Adrian, hubungan Dalia dengan Zarif terputus. Dalia tidak kesal untuk itu. Haruskah dia berterima kasih?

“Itu hal saya. Tiada kena mengena dengan awak.” Balas Dalia kasar. Sudahlah dia serabut dengan masalah hati, entah dari planet mana Tengku Adrian muncul semata-mata untuk menyakitkan hatinya.

“Okey, fine. Memang takde kaitan pun tapi tindakan you yang berhentikan kereta tepi jalan yang agak sunyi ini boleh menimbulkan banyak masalah. Kalaulah tiba-tiba ada penjahat datang culik you, tak takut?”

“Culik saya buat apa? Muka saya bukannya muka banyak duit pun.” Tengku Adrian ketawa mendengar jawapan lepas daripada mulut Dalia. Naifnya perempuan ni...

“Dear, nak culik you bukan sebab muka you ni muka berduit atau tak.” Mata yang sedikit bengkak dan hidung Dalia yang merah dia tatap. “Niat jahat, macam-macam ada. You pun perempuan. Seorang diri pulak kat sini. Takkan benda simple macam tu pun tak boleh fikir? Apa-apa hal yang jadi, you nak minta tolong dengan siapa? Kera dalam hutan sana?”

Dalia sudah rasa seram mendengar kata-kata Tengku Adrian yang berdiri di tepinya. Bezanya, Dalia di dalam manakala Tengku Adrian di luar kereta. Dia langsung tidak terfikirkan keselamatannya sewaktu dia memberhentikan keretanya tadi. Nasib Tengku Adrian yang dia temui. Ah, Tengku Adrian pun belum tentu manusia yang baik. Entah-entah, dia juga punya niat yang jahat tak?

“Dah la, saya nak balik.”

“Okey, nanti boleh sambung menangis kat tempat yang elok sikit.” Tengku Adrian berlalu ke arah keretanya. Saat itu, Dalia rasa mahu sahaja dia cilikan mulut puaka Tengku Adrian. Kurang asam betul! Ada-ada saja ayat yang keluar daripada mulut lelaki itu untuk menyakitkan hatinya.

Baru sahaja tingkap keretanya ditutup separuh, Dalia mendengar bunyi yang bising dan kecoh. Dia lihat ke tepi. Rahangnya hampir sahaja terjatuh. Ya Allah, bisiknya dalam nada yang panik dan penuh ketakutan. Mimpikah dia?


post signature

1 comment:

  1. aduhhhh,xkn la jbtan agama islam wat ambush kot..???
    anyway,xsbr nk tggu ur next n3....hrp ade sumthing surprise yg mmg surprise....
    ;) ZQ

    ReplyDelete