SEJAK pulang daripada pertemuan dengan Tengku
Adrian petang tadi, Dalia terus berkurung di dalam kamar. Pelawaan Puan Zahara
yang mengajaknya makan malam ditolak dengan alasan perutnya sudah kenyang.
Padahal, sebutir nasi pun belum dia sentuh.
Dia hilang selera untuk makan. Kebenaran yang baru dia
temui tadi adalah sesuatu yang langsung tidak dia sangka. Dia tidak bermimpi
untuk dihenyak dengan kenyataan pahit itu. Ya, memang pahit hingga cukup
membuatkan Dalia hilang kata-kata.
Di atas sejadah itu, air mata Dalia jatuh bercucuran
bagaikan hujan. Dia sapu dengan telekung sembahyang namun masih jua laju
menuruni pipinya yang sudah kemerahan. Mengapa dia selemah ini?
Dia cuba untuk bertahan. Dia cuba untuk tabah dan tidak
rapuh sebegini namun dia gagal. Dia jua manusia biasa yang punya hati dan
perasaan.
Dia salahkan hatinya yang buta menilai. Lebih setahun dia
menanam harapan dan impian palsu. Takkan sekali pun matanya tidak dapat melihat
kebenaran di depan mata?
Wajah dua insan yang dia sayangi menjelma di layar minda.
Sampai hati mereka... Dalia merintih syahdu. Kalaulah dia tahu. Kalaulah dia
sedar dari awal dulu. Kalaulah dia tidak pernah memasang impian mengait
angan-angan, pastinya hatinya tidak sesakit ini. Dia pasti.
Dan kalaulah bukan kerana Tengku Adrian, pasti sampai
sekarang Dalia hidup dalam harapan palsu. Dia sangka bahagia yang akan dia
tempuhi, namun sebaliknya yang terjadi. Oh Tuhan, hatinya merintih sayu.
Jauh di sudut hati, Dalia jadi ragu-ragu. Benarkah niat
Tengku Adrian itu? Atas dasar apa dia bersusah payah mengupah penyiasat
persendirian hanya untuk membentangkan kebenaran itu di depan matanya? Memang
kebenarankah itu? Dalia tidak pasti. Namun, masakan gambar yang kaku tiada
bicara itu boleh menipu?
Dalia mula hilang arah. Kenapa mesti Tengku Adrian?
Lelaki yang tidak dia kenali itu. Dalia yakin Tengku Adrian punya motif di
sebalik semua ini. Ada kepentingan yang akan lelaki itu perolehi. Tapi apa? Dalia
buntu.
Di dalam kegelapan malam itu, dia melayani kekecewaan
hati. Sedikit demi sedikit rasa panas menguasai. Dia cuba bertenang. Hatinya
yang sakit dan marah dia cuba basuh dengan doa. Berkali-kali dia membacakan doa
itu.
Dia beristighfar dan berterusan beristighfar. Hingga bila
dia tertidur, matanya masih jua basah akibat perilaku insan lain.
********
SUARA Encik Hadi yang tinggi awal-awal lagi menyapa
telinga Dalia. Dia kalut saat ini. Habis fail-fail yang tersusun kemas di sudut
meja dan almari kecil dia geledah. Dia perlu cepat. Dia tidak mahu Encik Hadi
berterusan menunggu dan menghambur marah di atas kecuaiannya.
Rakan sekerja yang lain cuma melihat. Tiada daya mahu
masuk campur urusan Dalia.
“Ya Allah, mana aku letak ni? Semalam dah siap, tapi kat
mana aku simpan?” Dalia bermonolog sendirian. Kepala yang tidak gatal digaru.
Dia cuba mengingat. Matanya dipejam celik bagi mengimbas kembali aktiviti yang
dia jalani sebelum keluar dari pejabat semalam.
Seminit. Dua minit. Masa berlalu. Encik Hadi masih
menunggu di dalam biliknya. Tidak semena-mena, Dalia menepuk dahinya. “Got it!”
Segera dia tarik laci meja. “Sini rupanya. Ya Allah,
syukur alhamdulillah. Selamat aku.” Terkocoh-kocoh Dalia menuju ke bilik Encik
Hadi sambil memegang fail biru yang diminta tadi. Pintu bilik diketuk, sebelum
suara Encik Hadi mempelawa Dalia masuk.
“Maaf, tuan. Ini fail yang tuan minta saya siapkan
semalam.” Berhati-hati Dalia letakkan fail tersebut di atas meja Encik Hadi.
Wajah garang ketuanya dia pandang sekilas saja. Dalia, Dalia... Apalah nasib
kau. Pagi-pagi lagi dah kena marah..
“Mana awak jumpa?” Serius suara Encik Hadi sambil matanya
meneliti laporan tersebut.
“Daaa..lam laci meja.” Jujur jawapannya.
“Yang awak kalut sampai habis semua fail atas almari awak
geledah, kenapa?” Aisey, sah-sah Encik Hadi sekodeng kelakuannya tadi. Dalia
diam. Cuma senyum sumbing.
“Next time, makan buah kismis banyak-banyak biar tajam
sikit ingatan.” Selamba Encik Hadi ‘sound’ dia. Setepek kena atas muka. Alah,
terlupa sikit aje tuan. Bukan selalu dia lupa macam ni. Dia pun takkan letak
fail tersebut sembarangan. Lagi-lagi laporan dalam fail itu penting kerana
bakal Encik Hadi gunakan dalam mesyuarat sebelum tengah hari nanti. Dia cuma
terlupa sikit aje.
“Iyalah.” Balas Dalia dengan redha.
“Awak tak apa-apa ke?” Tona suara Encik Hadi masuk ke
mode prihatin.
Dalia menidakkan. “Saya okey, tuan.”
Kecuali part matanya yang sembab, tapi berjaya dia cover
dengan bedak. Dan mukanya yang pucat dan tak bermaya sebab langsung tak sentuh
sarapan. Sudahlah semalam dia skip makan malam. Dalia pun tak perasan tapi bila
Nadya tegurnya pagi tadi, barulah dia tergesa-gesa tempek bedak pada kulit muka
dan sapu lipstick pada bibir lebih sedikit daripada hari-hari biasa. Bagi
nampak segar dan bertenaga.
“Awak nampak macam tak sihat. Jalan pun lemah macam tak
makan seminggu. Kalau sakit, pergi klinik panel. Dapatkan rawatan. Saya tengok
awak ni macam zombie pun ada.”
Ish ke situ pula Encik Hadi ni.. Ada ke patut dia samakan
aku dengan zombie? Pengaruh drama Barat sungguh. Teruk sangat ke muka aku hari
ini? Hurm...
Tapi, kalau diikutkan hati memang dia tiada daya pada
hari ini. Bangun pagi tadi pun dia rasa malas. Hendak datang kerja pun dia
tiada mood. Semangatnya pudar. Semuanya hilang dalam satu malam sahaja.
Disebabkan atas dasar tanggungjawab dan sedar akan dirinya yang makan gaji
dengan syarikat orang, Dalia kuatkan juga dirinya.
“Takdelah. Saya sihat aje.”
“One more thing..." Panjang sekali intonasi Encik
Hadi. mencetuskan tanda tanya pula.
"Ya tuan?"
"Sejak bila pulak saya minum teh? Selama dekat tiga
tahun awak bekerja bawah saya, rasanya belum pernah lagi kan saya minta awak
hidangkan saya teh untuk minum pagi? Awak dah lupa?”
Dalia menjengah sedikit pada mug di atas dulang pada
sudut meja Encik Hadi. Dalia, kau ni kenapa????
“Maaf, tuan. Saya tersilap.” Segera Dalia ambil dulang
tersebut. Bukannya dia tak tahu, malah dia dah hafal minuman kegemaran Encik
Hadi pada setiap pagi. Milo panas. Diulangi milo panas. Entah bagaimana boleh
pula dia bancuh teh pada ketuanya itu. Aduhai..
“Saya siapkan air milo tuan sekarang juga. Maaf, saya
betul-betul tak sengaja.” Encik Hadi menggelengkan kepala sahaja melihat
telatah Dalia yang jarang sekali terjadi.
“It’s okey. Saya pun nak keluar office sekejap lagi. And
Dalia, tolong fokus pada kerja awak. Saya tak mahu ada pekerja yang fikirannya
merewang entah ke mana waktu bekerja. Bukan sahaja kerja tak produktif, saya
pun tak suka. Faham?” Lembut sahaja nasihat itu kedengaran, tapi tepat dan
makan dalam. Dalia anggukkan kepala. Tanda dia menerima nasihat tersebut.
"Itu sahaja. Awak boleh sambung kerja.” Arah Encik Hadi.
“Baik tuan. Saya keluar dulu.” Dalia meminta izin sambil
membawa dulang teh menuju ke pantry. Langkahnya yang kelihatan malas dihantar
keluar oleh Encik Hadi.
Cian Dalia...
ReplyDeleteNanti ada la hero yg selamatkan Dalia..
Delete